BeritaPelik

118 Telur Penyu di Pantai Port Dickson

Sumber : BERNAMA

BARANGKALI tidak ramai yang tahu selain Terengganu, pantai peranginan Port Dickson (PD) antara lokasi pendaratan penyu.

Tidak menghairankan kerana kawasan ini sentiasa bingit dengan hiruk-pikuk manusia, sekali gus menenggelamkan kehadiran hidupan marin itu yang memerlukan suasana tenteram untuk bertelur.

Justeru, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 sejak 18 Mac lalu yang menyaksikan pantai peranginan itu sepi daripada sebarang kegiatan manusia, menggamit haiwan laut berkenaan untuk mendarat dan bertelur lebih awal daripada kebiasaan.

Penemuan 118 biji telur penyu agar dan 110 biji lagi telur yang belum dikenal pasti spesisnya pada Isnin lalu dikongsikan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan menerusi laman Facebook jabatan itu.

Ketika dihubungi hari ini, Pengarahnya Halimi Abu Hanip berkata, kali terakhir telur penyu ditemui di kawasan peranginan terbabit ialah Oktober tahun lalu.

“Telur-telur berkenaan dibawa ke Pusat Ikan Hiasan Port Dickson untuk dieram dan ditetaskan,” katanya, menambah lazimnya kawasan itu menjadi tumpuan penyu agar dan karah yang mendarat antara Mac dan Oktober setiap tahun.

Menurutnya terdapat dua lokasi di pantai terbabit termasuk Tanjung Tuan yang menjadi tumpuan penyu mendarat dan telah diklasifikasikan sebagai kawasan larangan perikanan mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 di bawah Akta Perikanan 1985.

“Sukar untuk temui telur penyu kerana kepesatan pembangunan di pantai serta cahaya yang terang menyebabkan haiwan ini takut untuk naik bertelur,” katanya.

Paparan Facebook jabatan tersebut mendapat perhatian warganet yang berkongsi pelbagai pandangan termasuk ada yang menyifatkan ia sebagai hikmah di sebalik pandemik Covid-19.

Sementara itu, Halimi menggesa semua pihak supaya tidak mengganggu haiwan berkenaan serta tidak mengambil telurnya.

“Jika terjumpa, mohon segera maklumkan kepada Jabatan Perikanan negeri,” katanya dan menambah penyu dilindungi di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) 1976 Negeri Sembilan dan Akta Perikanan 1985.

Related Articles

Komen Korang ? :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

52 − = 51

Check Also

Close

Register To Receive Sukatilah Newsletter

First name:
Email:


Your information is kept 100% private

Want to put this form on your website?
GrabThatLead Autoresponder
Holler Box
Close
Close