Separuh Akhir MM26: Calon Favorit Duduki Tangga Teratas

Jika anda menonton siaran langsung Separuh Akhir Muzik-Muzik malam tadi, pasti anda sudah tahu lagu yang mana menduduki tangga lima teratas. Daripada 11 buah lagu yang berentap, Gadis Semasa (Yuna), Kisah Hati  (Alyah), Mata Hati (Nubhan), Seribu Sesalan (3 Suara) dan Awan Nano (Hafiz) diumumkan sebagai lagu terbaik setakat ini.

Bagaimanapun keputusan ini tidak menjanjikan tempat di Anugerah Juara Lagu ke 26 (AJL26) kerana masih terdapat 19 buah lagu yang bakal meneruskan saingan pada  25 November dan 2 Disember hadapan. Hanya 12 buah lagu yang akan mara ke pentas AJL26 dan keputusan rasmi akan diumumkan sejurus tamatnya Separuh Akhir Muzik-Muzik minggu ketiga. Keputusan ini dibuat   berdasarkan pemarkahan oleh juri profesional, bukan pilihan SMS atau sebagainya.

Ketika ditemui selepas acara berakhir, kesemua penyanyi yang berjaya mendapat tempat lima teratas ini melahirkan rasa gembira. Bagaimanapun, mereka mengakui tidak mahu terlalu gembira kerana keputusan malam tadi belum mengesahkan tiket mereka ke AJL26.

“Ini kali keempat saya berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan lagu ini yang berjaya diumumkan sebagai salah satu yang mendapat markah tertinggi.  Saya sudah buat yang terbaik tadi dan seandainya lagu ini boleh ke final, saya rasa sangat bersyukur. Tapi saya tdak mahu terlalu mengharap kerana sebelum ini saya pernah kecewa,” ujar Nubhan.

Bagi Yuna pula, dia berasa gembira apabila lagunya turut terpilih kerana baginya pencalonan pada minggu pertama ini hebat-hebat belaka . Dalam masa yang sama, dia juga mengakui mengharapkan lagu ‘Penakut’yang akan bersaing pada 2 Disember nanti boleh mara ke peringkat seterusnya.

“Kalau boleh saya mahu kedua-dua lagu mendapat tempat di AJL26, tetapi itu terpulang kepada penilaian juri profesional. Saya pun tidak boleh hendak buat jangkaan. Memang ‘Penakut’ menang di AIM baru-baru ini, tetapi juri untuk anugerah itu tidak sama dengan juri  AJL nanti.  Sekarang ini pun saya dan band sudah mula membuat sedikit persiapan kalau-kalau boleh ke final,” jelas Yuna.

Bagi pemenang Vokal Terbaik AJL25, Hafiz, dia bersyukur kerana lagu Awan Nano mendapat kejayaan awal itu. Jelas hafiz, walaupun keputusan itu belum muktamad, tetapi dia berasa cukup gembira.
Apa pula komen gabungan 3 Suara yang banyak mencipta kejayaan akhir-akhir ini? Menurut Ning Baizura, Jaclyn Champion dan Sheila Amzah, mereka berasa bertuah kerana ini pertama kali gabungan tiga penyanyi berentap di pentas AJL. Jelas Sheila, pujian seharusnya diberikan kepada komposer lagu Beribu Sesalan kerana dia berjaya menampilkan lagu yang melodinya yang cukup indah.

“Kami tahu lagu ini mempunyai kekuatan tersendiri dan kami juga tahu ramai peminat yang sukakan lagu ini. Jadi, setiap kali hendak buat persembahan, kami memang cuba berikan yang terbaik. Kalau boleh pergi ke final, sudah tentu kami berbesar hati dan gembira,” tambah Jac.

Pelantun lagu Kisah Hati, Alyah, juga sempat memberikan komen. Jelas Alyah walaupun tahap kesihatannya tidak begitu mengizinkan, tetapi dia telah cuba melakukan yang  terbaik. Keputusan malam tadi memang menggembirakannya kerana dia tidak menjangka boleh terpilih.

Jangan lupa menyaksikan Separuh Akhir Muzik-Muzik pada hari dan waktu yang sama minggu hadapan. Antara lagu bakal bertanding ialah Cinta Muka Buku (Najwa Latif), Sungai Lui (Aizat), Bagaikan Bidadari (Tomok), Wanita Seluruh Dunia (Projek Pistol), Ilusi (Adira), Pokok (Meet Uncle Hussain) dan Cinta Teragung (Hazama).

Hasil carian Google :

Komen Korang ? :

Leave a Reply

Copyright © 2011 Sukati lah ! · All rights reserved ·
Powered by WordPress